Ikan Tilapia Satu Projek Penternakan Yang Menguntungkan

Tilapia telah lama diiktiraf sebagai spesies ternakan utama dalam industri akuakultur kerana ketahanan dan kebolehsuaian yang tinggi.

Berasal dari benua Afrika, ikan ini telah diperkenalkan di seluruh dunia dan telah menjadi bahagian penting dalam diet orang di pelbagai negara.

Kelebihan Penternakan Ikan Tilapia

Ikan tilapia merupakan ikan yang mendiami kawasan air tawar dan kawasan air payau. Tilapia merupakan haiwan ternakan jenis omnivor dimana makanan utamanya ialah rumput-rumput atau alga dan tumbuhan air yang lain.

Spesis ikan tilapia yang kerap diternak di negara ini ialah tilapia merah dan tilapia hitam. Daripada pemerhatian saya, penternak lebih gemar untuk menternak spesis tilapia merah. 

Hal ini disebabkan tilapia merah mempunyai permintaan tinggi daripada pembeli. Tambahan pula isinya yang lebih enak dimakan.

Baka tilapia merah.

Jenis-Jenis Ikan Tilapia

Tilapia merupakan sejenis ikan air tawar yang popular di Malaysia. Ikan ini berasal dari Afrika dan telah diperkenalkan ke banyak negara di dunia termasuk Malaysia.

Terdapat lima jenis tilapia yang biasa dipelihara di Malaysia antaranya Ikan Tilapia Merah Taiwan, Ikan Tilapia NIFI, Ikan Tilapia Chitralada, tilapia BEST dan tilapia GIFT.

Artikel berkaitan: Lima Jenis Ikan Tilapia Di Malaysia.

Rupa Bentuk Ikan Tilapia

Secara umumnya, bentuk ikan tilapia ini terbahagi kepada dua jenis. Jenis pertama mempunyai muncung yang pendek dan bulat. Manakala jenis kedua pula memiliki muncung yang tirus.

Yang membezakan kedua-dua jenis ini adalah daripada kandungan isi. Jenis muncung bulat mempunyai jumlah isi yang lebih tebal berbanding dengan jenis muncung tirus.

Tumbesaran Ikan Tilapia

Berapa lama ikan tilapia membesar? Tilapia boleh dituai hasilnya apabila sudah mencapai umur matang iaitu enam hingga tujuh bulan.

Tumbesaran ikan tilapia ini diukur berdasarkan berat badan seekor ikan. Dalam satu kolam, berat badan ikan boleh berbeza-beza bergantung kepada empat faktor utama.

Faktor yang mempengaruhi saiz tilapia ialah kualiti air, penjagaan persekitaran kolam, kuantiti makanan dan tahap kesihatan ikan.

Jadual di bawah ini menunjukkan pengkelasan tilapia mengikut gred. Harga ini adalah harga anggaran. Berkemungkinan naik atau turun bergantung kepada permintaan pasaran semasa.

Bagi tilapia gred A, berat badan seekor tilapia perlu melebihi 600 gram. Untuk harga jualannya pula, RM9 untuk setiap sekilogram.

Anda boleh rujuk laman rasmi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk mengetahui harga semasa.

Makanan ikan Tilapia

Umum mengetahui, ikan tilapia merupakan haiwan ternakan jenis omnivor. Ini bermaksud, ikan ini boleh diberikan makanan tumbuhan-tumbuhan hijau dan daging.

Dalam menjimatkan kos pemakanan, penternak biasanya akan memberikan ikan memakan perut ayam dan roti-roti.

Perut ayam sebagai makanan ikan tilapia.

Makanan pallet pula adalah makanan yang terbaik kerana ianya lengkap dengan nutrisi untuk tumbesaran ikan. Walaupun begitu, kos untuk membeli pallet ini agak tinggi jika nak dibandingkan dengan makanan jenis lain seperti perut ayam dan roti-roti.

Saya ada kongsikan beberapa makanan yang boleh menggemukkan ikan tilapia dalam artikel bawah ini.

Artikel berkaitan: Makanan yang menggemukan ikan tilapia

Kolam Ikan Tilapia

Selain daripada faktor makanan, keadaan kolam juga merupakan faktor penentu kepada saiz ikan yang diternak. Kolam yang bersih dan mempunyai kualiti air yang baik akan menjadi pemangkin kepada tumbesaran ikan.

Kolam ikan yang baik dapat memberikan kandungan oksigen mencukupi kepada ikan. Jika keadaan kolam tidak dijaga, kandungan oksigen akan merosot dan ini adalah punca kepada serangan penyakit.

Ikan akan menjadi lemah apabila kekurangan oksigen. Ketika ini ikan tilapia mudah untuk terkena serangan penyakit dan boleh mengakibatkan kematian.

Selain daripada itu, kolam perlulah mempunyai keluasan yang bersesuaian dengan kuantiti ikan. Kolam yang sempit boleh menyebabkan ikan bersaiz kecil daripada saiz sepatutnya.

Tahap Kesihatan Kolam

Anda tahu bagaimana nak periksa keadaan kolam? Pemeriksaan perlu dilakukan bagi memastikan kolam berada dalam keadaan yang baik.

Ada beberapa kaedah boleh digunakan dalam memeriksa kesihatan kolam ini. Antara kaedah yang selalu digunakan ialah dengan penyukat kandungan oksigen, pH dan tahap ammonia.

Paras kandungan oksigen oksigen air kolam ialah perlu melebihi 4 ppm. Manakala paras pH airnya pula ialah di antara 6.5 hingga 9.0. Paras ammonia ialah tidak melebihi 0.02 ppm.

Alat pengukur pH air kolam.

Selain itu, tahap kesihatan air kolam juga boleh diketahui melalui warna. Air kolam yang berada dalam keadaan baik akan berwarna hijau atau jernih. Air kolam berkualiti rendah pula berwarna kehitaman atau coklat.

Kolam juga tidak menghasilkan apa-apa bau. Kolam yang tidak sihat pula akan berbau busuk dan hanyir. Ikan juga akan kelihatan lebih lincah berenang dan tidak mengalami sebarang penyakit kulit apabila kondisi air yang baik. 

Ciri-Ciri Kolam Ikan

Kolam ikan tilapia perlulah dibina mengikut ciri-ciri tertentu seperti jenis tanah, bentuk, kedalaman dan keluasan sesuatu kolam.

Salah satu ciri perlu ada pada suatu kolam ialah kedalaman. Kolam yang baik perlulah mempunyai kedalaman empat hingga lima kaki. 

Apa akan jadi jika kolam terlalu cetek?

Suhu air lebih mudah meningkat ketika waktu siang terutama waktu tengah hari. Dan akan menurun pada hari dingin terutamanya waktu pagi.

Kesannya, tumbesaran ikan akan terganggu kerana tertekan terhadap perubahan suhu air.

Paras suhu air dalam kolam.

Selain daripada kedalaman kolam, ciri penting lain yang perlu ada pada suatu kolam ikan ialah jenis tanah, bentuk kolam dan keluasan kolam.

Saya ada kongsikan lagi ciri-ciri pembinaan kolam ini dekat artikel di bawah ini.

Wajid baca: Kolam ikan air tawar jenis tanah

Penyakit Ikan Tilapia

Tidak sah rasanya menternak ikan tilapia tanpa serangan penyakit. Selalunya, penyakit-penyakit yang dihadapi oleh ikan ini disebabkan oleh bawaan patogen.

Secara umumnya, penyakit ikan ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu panyakit primer dan penyakit sekunder.

Penyakit Primer

Serangan penyakit ini berlaku apabila ikan-ikan kecil dicampurkan dengan ikan-ikan besar dalam satu kolam. Ikan-ikan kecil yang baru bertindak dengan patogen buat kali pertama mudah sekali mendapat penyakit bawaan dari patogen ini.

Penyakit Sekunder

Serangan penyakit ini berpunca daripada tekanan yang diterima oleh ikan. Tekanan ini akan menyebabkan ikan menjadi lemah dan mudah diserang patogen.

Antara faktor-faktor berlakunya tekanan ini ialah perubahan suhu air dan kualiti air. Kesannya, ikan menjadi lemah dan daya ketahanan terhadap penyakit akan menurun.

Produk Ikan Tilapia

Kebiasaannya, ikan tilapia ini kita tengok sesuai untuk digoreng atau dimasak saja kan. Bagi memastikan tilapia yang diternak berterusan mendapat permintaan yang tinggi, beberapa produk baru telah diperkenalkan.

Dalam mempelbagaikan pengeluaran produk ikan ini, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia telah terbabit sama dalam menjayakan kempen ini. 

Satey ikan

Anda pernah makan satey ikan? Biasanya satey ini diperbuat daripada isi ayam dan daging kan. Struktur daging ikan tilapia lebih kurang dengan struktur daging ayam dan lembu membolehkan ikan ini dijadikan satey.

Daging tilapia yang dijadikan satey ikan.

Produk Kecantikan

Sesetengah produk kolagen diekstrak daripada daripada haiwan yang diragui status halalnya. Hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia, kulit ikan tilapia telah gunakan sebagai bahan pengganti dalam proses penghasilan kolagen.

Yang pastinya, kolagen daripada kulit ikan ini sudah pasti halal dan lebih selamat digunakan.

Belajar Sesuatu?

Rasa berminat untuk menternak ikan tilapia? Jika anda inginkan lagi ilmu penternakan ikan tilapia, anda boleh baca perkongsian seorang penternak ini.

Klik butang di bawah untuk baca. 

1 thought on “Ikan Tilapia Satu Projek Penternakan Yang Menguntungkan”

Comments are closed.